Mahfuz Tak Tahu Muktamar Bulan April, Akan Hadir Bulan Jun

Bekas Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, mendakwa tidak dimaklumkan mengenai Muktamar Tahunan PAS ke-64 yang dijadual akan diadakan 28 April hingga 1 Mei ini.

Justeru, beliau masih beranggapan muktamar tahun ini akan berlangsung pada Jun ini.

“Bila muktamar? Lambat lagi. Bulan enam selalunya muktamar.

“Saya tidak tahu. Saya tidak ada makluman,” katanya kepada media di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyatakan, beliau masih lagi ahli PAS dan menegaskan hanya akan hadir muktamar pada Jun ini.

“Bulan enam saya akan hadir. Yang lain saya tidak tahu, mana ada?,” katanya.

Mahfuz sebelum ini dilihat secara terbuka mengkritik dasar parti dan pemimpin PAS malah beliau juga sering dilihat berada sepentas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAN.

Beliau pernah didesak supaya meletak jawatan dan menyertai parti lain daripada terus menjadi ‘duri dalam daging’ di dalam PAS. – 5 April 2017.