Najip Ali Mohon Maaf Kepada PM

Pengacara terkenal Najip Ali, tampil memohon maaf kepada Perdana Menteri berikutan kontroversi penyiaran rancangan hiburan Singapura yang didakwa mempersendakan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menerusi satu kenyataannya hariini, Najip mengakui tidak sensitif apabila secara terbuka menjadikan pemimpin nombor satu Malaysia itu sebagai bahan jenaka.

“Saya sedar betapa saya tidak sensitif dan (tidak) berhati perut. Saya ingin memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya merayu agar beliau, penonton dan rakan-rakan memaafkan saya,” katanya.

Sejak semalam, pelbagai pihak termasuk netizen dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengecam tindakan stesen Mediacorp 5 milik Temasek Holdings berhubung penyiaran rancangan hiburan OK Chope di negara itu.

Najip yang kini menjadi juri tetap program Maharaja Lawak Mega terbitan Astro merupakan salah seorang selebriti yang terlibat dalam rancangan OK Chope.

Menerusi rancangan itu, pesertanya diminta melengkapkan tajuk berita berkaitan Najib yang dikurangkan satu perkataan iaitu “Najib slams… for treating Malaysia progress”.

Perkataan asal yang tertinggal pada berita itu ialah ‘fake news’.

Sementara itu Ketua Pegawai Khidmat Pelanggan Mediacorp, Debra Soon berkata, pihaknya turut mengakui kesilapan berkenaan.

“Oleh itu kami telah menarik balik siaran ulangan episod berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

“Kami memohon maaf berikutan kesilapan ini,” katanya. – 5 April 2017.