Rasuah: Tiga Pemain Bola Sepak Ditahan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pemain Persatuan Bola Sepak India Malaysia (Mifa) kerana disyaki mengambil rasuah daripada ‘bookie’sebagai habuan untuk menentukan keputusan perlawanan Liga Perdana Malaysia.

Sebuah portal berita online melaporkan dengan memetik sumber, dua suspek merupakan pemain tempatan berusia 26 dan 27 tahun, manakala seorang lagi pemain import berusia 29 tahun.

Berdasarkan siasatan awal, suspek menerima rasuah antara RM10,000 hingga RM30,000 daripada ‘bookie’ untuk menentukan keputusan perlawanan.

“Suspek-suspek terlibat dalam kegiatan tersebut sejak beberapa tahun lalu,” kata sumber sebagaimana dilaporkan portal berkenaan.

Tambah sumber itu lagi, kemungkinan lebih ramai yang akan ditangkap dalam waktu terdekat berhubung siasatan kes tersebut.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Beliau berkata, SPRM tidak bertolak ansur dengan perbuatan sedemikian yang boleh menjatuhkan reputasi sukan negara.

“SPRM akan terus memantau dan menyiasat pemain-pemain bola sepak serta akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perlu,” tegas Azam.

Selasa lalu, Azam sambil memberi amaran berkata, terdapat beberapa pemain bola sepak tanah air berada dalam radar SPRM dan akan diambil tindakan. – 6 April 2017.