Tuntutan Palsu: Tan Sri, Lima Individu Ditahan

Seorang individu bergelar Tan Sri yang didakwa membuat tuntutan palsu berjumlah hampir RM13 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) direman selama enam hari.

Majistret, A. Akhiruddin @ Boy Acho mengarahkan Tan Sri yang berusia 63 tahun itu ditahan sehingga Selasa depan.

Turut ditahan ialah lima individu lain yang disyaki terlibat dengan kes tersebut.

Difahamkan, mereka adalah pegawai JPS yang bersubahat dengan Tan Sri, dan anak lelakinya yang turut didakwa terlibat dalam kes tersebut.

Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, kesemua suspek tiba di mahkamah pada pukul 9.30 pagi ini.

The Star melaporkan Tan Sri yang merupakan naib presiden MIC membuat tuntutan berhubung pembekalan sebanyak 358 unit geotube untuk kerja-kerja pemulihan sungai yang dilakukan JPS.

Bekas ahli politik itu pernah memegang pelbagai jawatan dalam parti di peringkat negeri dan bahagian.

Keluarganya dikatakan terlibat dalam perniagaan pembinaan dan pengangkutan. – 6 April 2017.