Kehilangan Mohd. Zaidi Terjawab Dengan Penemuan Rangka Manusia

Misteri kehilangan seorang lelaki dari Felda Chiku 1 sejak awal Mac lalu terjawab dengan penemuan rangka manusia di kawasan berhampiran Sungai Relai, Gua Musang kelmarin.

Rangka tersebut ditemui dalam operasi mencari yang dijalankan oleh lima penduduk kampung sejak beberapa hari lalu.

Turut ditemui ialah satu plastik yang sudah reput berisi kain selimut, rokok, telefon bimbit, wang kertas dan selipar yang dipercayai milik mangsa, Mohd. Zaidi Md. Zain, 35, dari Felda Chiku 1.

Menurut salah seorang penduduk kampung yang terlibat dalam operasi mencari, Zamri Mohamad, 62, usaha mencari dijalankan setelah dimaklumkan oleh keluarga bahawa mangsa ke hutan itu sejak 7 Mac lalu.

“Setelah lebih tiga hari mencari, akhirnya membawa penemuan barang milik mangsa di kawasan cerun sungai sejauh satu kilometer (km) dari jalan utama. Selepas itu, kami mula terhidu bau busuk berhampiran kawasan berkenaan.

“Kami menemui barang itu pada jam 11 pagi dan selepas 15 minit menjejaki bau, kami menemui rangka manusia di atas akar pokok yang berada pada jarak tiga kaki dari kawasan tanah. Melihat kepada keadaan mangsa yang tergantung di atas akar, kami mengesyaki dia terjatuh dari atas cerun bukit berkenaan.

“Difahamkan, mangsa mahu ke tempat mendulang emas namun, lokasi berkenaan masih jauh iaitu lebih kurang dua kilometer dari tempat penemuan. Ini bermakna, mangsa mungkin terjatuh ketika dalam perjalanan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Rajab Ahad Ismail mengesahkan penemuan mayat lelaki di kawasan berkenaan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga. – 7 April 2017.