Murid Tahun Enam Cuba Terjun Bangunan Sekolah

Sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Rompin semalam gempar apabila seorang murid lelaki tahun enam cuba terjun dari tingkat tiga bangunan sekolah.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Azli Mohd. Noor berkata, pasukan penyelamat menerima panggilan kecemasan dan bergegas ke lokasi kejadian pada pukul 8 pagi.

“Sebaik tiba, murid berkenaan didapati berada di hujung tingkat tiga bangunan sekolah itu dalam keadaan mendiamkan diri serta enggan beredar ke kawasan selamat walaupun telah dipujuk guru-guru dan rakan-rakannya.

“Mangsa dipercayai mengalami tekanan emosi sehingga bertindak sedemikian, ” katanya ketika dihubungi Bernama.

Anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin berjaya memujuk dan membawa turun murid terbabit sejam kemudian. – 7 April 2017.