Itulah Khalid Samad

Tindakan beberapa pemimpin PAN khususnya Khalid Samad yang berlebihan membantah keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016 (RUU 355) sudah dijangka lebih awal.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tindakan tersebut menyerlahkan sikap sebenar Ahli Parlimen Shah Alam itu.

“Ia merupakan perkara biasa sahaja, dan pihaknya tahu dan mengenali dengan jelas sikap pemimpin itu (Khalid Samad).

“Itulah Khalid Samad, masa kita berbahas dia tidak tanya pun, itulah ‘trademark’ dia. Sikap dia memang macam itu, kita dah kenal dia,” katanya.

Pandikar Amin menggunakan budi bicaranya apabila membuat keputusan untuk mengadakan sesi perbahasan RUU 355 pada sesi Dewan Rakyat akan datang iaitu pada Julai depan.

Penangguhan tersebut telah mendorong beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang diketuai DAP mengecam keputusan itu termasuk dengan mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, PAS optimis dengan penjelasan yang diberikan semasa pembentangan RUU355 di Parlimen semalam akan memberi pandangan baharu kepada semua pihak terutamanya pembangkang dalam memahami pindaan akta tersebut.

“Saya pun terkejut kerana celahan pun tidak banyak semasa perbahasan, dan kalau ada pun semuanya celahan yang baik, ke arah mereka nak memahami RUU tersebut.

“Kita yakin dengan penjelasan yang diberikan semalam dan tempoh tiga bulan sebelum sidang seterusnya ini boleh digunakan sebaik mungkin untuk memberi lebih banyak input mengenai pindaan akta tersebut, terutamanya kepada orang bukan Islam,” katanya. – 8 April 2017.