Keputusan Pandikar Adalah Tepat

Keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016 (RUU 355) pada sesi akan datang adalah langkah tepat dan tidak sewajarnya dijadikan isu.

Dalam masa sama, PAS turut memuji Pandimat Amin yang telah memainkan peranan yang cukup cemerlang apabila tidak menyebelahi mana-mana pihak selain memberikan ruang secukupnya kepada PAS untuk menghuraikan usul RUU 355 tersebut.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya sudah maklum sidang dewan akan berakhir pada pukul 5.30 petang dan Speaker menangguhkan kira-kira pukul 4 petang kerana memberi lebih masa kepada sesi perbahasan tersebut pada masa akan datang.

“Jadi saya rasakan tindakan itu adalah betul, sebab kalau diberi ruang sekalipun hanya seorang sahaja yang sempat menyertai sesi perbahasan.

“Jadi tindakan beliau tangguh (sesi perbahasan) saya rasa ia dalam budi bicara yang munasabah,” katanya,

Pandikar Amin menggunakan budi bicaranya apabila membuat keputusan untuk mengadakan sesi perbahasan RUU 355 pada sesi Dewan Rakyat akan datang iaitu pada Julai depan.

Penangguhan tersebut telah mendorong beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang diketuai DAP mengecam keputusan itu termasuk dengan mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya.

Sementara itu Takiyuddin menyifatkan tindakan beberapa Ahli Parlimen PAN, PKR dan DAP yang cuba mencetuskan provokasi selepas sesi pembahasan RUU 355 ditangguhkan sebagai tidak wajar.

“Tindakan tersebut telah menyerlahkan sikap sebenar segelintir pemimpin Pakatan Harapan yang diketuai DAP bagi menghalang perlaksanaan rang-rang undang tersebut,” katanya. – 8 April 2017.