RUU 355 : Komitmen Pakatan Harapan Mempertahakan Islam Diragui

Tindakan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang diketuai DAP cuba menghalang pembentangan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016 (RUU 355) menyerlahkan sikap sebenar mereka terhadap Islam.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, seluruh rakyat dapat menyaksikan kesungguhan pemimpin pakatan diketuai Lim Kit Siang itu yang sejak daripada awal tidak berpuas hati.

Katanya, lebih memalukan, tindakan tersebut turut diikuti segelintir pemimpin Islam dari PKR dan PAN khususnya Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang ‘melalak’ membantah keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan sesi perbahasan tersebut.

“Jelaslah bahawa tindakan pemimpin DAP, PKR dan PAN itu telah menimbulkan lebih banyak keraguan terhadap komitmen pakatan tersebut untuk mempertahankan Islam.

“Lebih penting ialah peristiwa semalam menyerlahkan lagi sikap pemimpin tertentu yang akan menentang apa sahaja yang memihak kepada Islam sehingga sanggup memanipulasi apa sahaja untuk mencapai matlamat mereka,” katanya.

Kelmarin, Pandikar Amin memutuskan sesi perbahasan RUU 355 pada persidangan akan datang iaitu Julai ini.

Perkara itu diputuskan beliau selepas Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) selesai memberi hujah menyokong rang undang-undang tersebut yang dibentangkan buat kali ketiga di Dewan Rakyat oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang).

Penangguhan tersebut sekaligus telah mendorong beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang diketuai DAP mengecam keputusan itu termasuk dengan mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya.

Mengulas lanjut, Dr. Kamarul Zaman berkata, meskipun RUU 355 belum dapat dibahaskan namun usaha untut mendaulatkan agama Islam di negara ini sebenarnya telah maju setapak ke hadapan. – 8 April 2017.