Suara Seram Dari Kubur, Penduduk Solat Hajat

Penduduk Kampung Cherang Melintang dan penduduk kampung sekitar solat hajat - gambar Sinar Harian

Kira-kira 200 penduduk kampung mengerjakan solat hajat dan tahlil di Tanah Perkuburan Islam Mukim Jal, Tumpat memohon kerahmatan dan keampunan Allah susulan kejadian aneh suara dari kubur.

Mereka terbabit adalah penduduk Kampung Cherang Melintang, Kampung Ana, Kampung Jal Besar, Kampung Padang Mandol dan Tok Oh.

Solat hajat diimamkan oleh Guru Pondok Jal Besar, Fadhil Zakaria.

Pengerusi Tanah Perkuburan Islam Mukim Jal Besar, Che Husien Che Soh berkata, sekiranya peristiwa tersebut adalah benar, ia merupakan kuasa dan hikmah Allah bagi memberi keinsafan kepada hambanya.

“Ianya boleh ditafsirkan sebagai satu mesej dan peringatan kepada hamba Allah yang masih hidup agar mencari keredhaan, menggandakan amal soleh serta sentiasa mendoakan keampunan ibu bapa dan ahli keluarga yang telah kembali kerahmatullah,” katanya.

Sebelum ini sebuah akhbar tempatan melaporkan seorang penduduk kampung Cherang Melintang terdengar suara nyaring seorang lelaki bertempik dari kawasan tanah perkuburan berkenaan.

Suara yang menyeramkan itu didengari individu terbabit ketika berada di rumahnya bersebelahan tanah Perkuburan Islam Mukim Jal Besar.

Sejak itu, cerita misteri suara dari kubur mula tersebar dari mulut ke mulut sehingga ada penduduk mula rasa takut dan ada juga yang menganggap ianya cerita tahyul.

Ia juga menjadi perbualan hangat netizen di laman sosial apabila status misteri suara aneh dari kubur itu dimuatnaik di media sosial.

Menurut individu berkenaan, tiga kali dia mendengar suara lelaki bertempik yang menyeramkan sehingga bulu romanya meremang.

“Suara itu jelas kedengaran dan amat nyaring bunyinya sehingga mengejutkan saya, tiga kali saya dengar ia bertempik,” katanya.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menjelaskan, suara aneh itu berkemungkinan besar adalah gangguan daripada iblis dan syaitan.

Menurutnya, iblis dan syaitan mengganggu anak-anak Adam dan tujuannya tiada syak lagi mahu menakut-nakutkan manusia.

“Tidak boleh menolak kewujudan makhluk halus ini. Mereka boleh meniru suara atau menyerupai sesiapa sahaja yang masih hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.

“Begitu pun keadaannya, manusia tidak seharusnya takut, sebaliknya hantu yang perlu takut pada manusia kerana iblis adalah ‘kuli’ manusia. Jika kita takut, macam kita pula ‘kuli’ mereka,” katanya.

Beliau berkata, suara tersebut tidak boleh dikaitkan dengan sesiapa yang sudah meninggal dunia kerana bimbang akan menimbulkan perbalahan sesama manusia.

“Tugas manusia yang masih hidup ini adalah mendoakan perkara yang baik-baik kepada Allahyarham.

“Gunakan kaedah dalam Islam yang mewajibkan kita menyelidik kesahihan sesuatu berita, tidak cukup hanya satu saksi, paling kurang perlu dua yang mengalami perkara sama dan jangan kita terima bulat-bulat sahaja perkara yang disampaikan.

“Sekiranya mahu mengaitkan suara itu dengan seksa kubur, memang wujud, namun taraf nabi sahaja yang boleh mendengarnya dan setara mana sekalipun kekuatan orang biasa, tidak akan boleh hingga dapat mendengar jeritan seksaan kubur,” kata Mohamad Shukri. – 8 April 2017.