Tiada Lokasi Baharu Dikesan Positif H5N1

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan tiada lokasi baharu disahkan positif penyakit selesema burung (H5N1) di Kelantan sejak 10 hari lepas.

Dalam satu kenyataan JPV berkata, sehingga kini 36 kawasan disahkan positif wabak itu melibatkan enam jajahan iaitu Kota Bharu di 15 lokasi, Pasir Mas (enam), Tumpat (lima), Bachok (enam), Pasir Puteh (tiga) dan Tanah Merah (satu).

“Operasi pelupusan telah selesai dijalankan di 36 lokasi berkenaan. Secara keseluruhan, sebanyak 56,953 ternakan unggas dan 17,531 biji telur dimusnahkan serta 3,792 sampel diambil daripada 647 pemilik ternakan unggas,” kata kenyataan itu.

Melalui operasi sekatan jalan raya, sebanyak 5,415 kenderaan telah diperiksa dengan 30 kes rampasan dibuat melibatkan 165 ekor unggas.

Dalam pada itu, tiada jangkitan H5N1 dikesan dalam kalangan manusia.

Sementara itu, JPV memaklumkan negeri lain kekal bebas wabak tersebut, namun berada dalam tahap kesiapsiagaan yang tinggi. – 8 April 2017.