Husam Dilantik Sebagai Naib Presiden PAN

Datuk Husam Musa dilantik sebagai Naib Presiden PAN bermula hari ini.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agungnya, Mohd. Anuar Tahir.

“Sukacitanya memaklumkan Datuk Husam yang ketika ini menjadi penasihat Amanah (PAN) Kelantan dilantik mengisi jawatan Naib Presiden parti.

“Perlantikan ini adalah sebagai memenuhi usul yang diterima sebulat suara dan berkuatkuasa hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Dewan Himpunan Cina Selangor – Kuala Lumpur.

Husam dipecat keahlian PAS kerana kelantangannya mengkritik parti dan Presiden Parti, Datuk seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan wujud kerjasama PAS-UMNO.

Jawatankuasa Tatatertib PAS yang bersidang pada 23 April 2016 memecat bekas Naib Presiden PAS itu berkuat kuasa serta merta.

Beliau yang juga bekas Exco kanan kerajaan PAS Kelantan didakwa melakukan tindakan dan perbuatan yang bersalahan dengan Fasal 82(1)(b), (c), (d), (e) dan (f), Perlembagaan PAS.

Susulan itu, beberapa bulan kemudian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu menyertai PAN.

“Bagi saya Amanah adalah parti yang meneruskan perjuangan asal PAS yang telah dikhianati oleh orang PAS sendiri,” katanya semasa berucap mengumumkan perkara itu. – 9 April 2017.