Op Asap Basmi Penjualan Rokok Haram

Tindakan tegas akan dikenakan terhadap peniaga yang menjual rokok tidak lulus Kastam.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan Mohd. Nasir Yusoff berkata, pihak JKDM akan melakukan pemeriksaan ke setiap premis di sekitar jajahan Kota Bharu yang dikenal pasti aktif dengan penjualan rokok haram melalui Op Asap yang dilancarkan hari ini.

“Matlamat JKDM Kelantan adalah bagi membersihkan Kelantan daripada penjualan rokok haram yang dikatakan masih berleluasa selain berbahaya kepada kesihatan kerana kandungannya tidak diketahui,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mohd Nasir berkata, peniaga yang melakukan kesalahan menjual rokok haram akan dikenakan kompaun RM5,000 bagi yang tidak melebihi 10,000 batang manakala sekiranya melebihi jumlah itu mereka akan dihadapkan ke mahkamah di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Katanya, selepas ini, operasi tersebut akan diperluaskan ke seluruh daerah di negeri itu.

Beliau berkata, melalui Op Outlet sebelum ini, JKDM telah bertindak agresif dalam menangani gejala penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand bertujuan memutuskan rangkaian bekalan rokok haram daripada memasuki pasaran tempatan.

Menurutnya, menerusi operasi itu tahun lalu, pihaknya berjaya menyelamatkan hasil negara yang melibatkan cukai sebanyak RM24.5 juta dan anggaran nilai rokok yang dirampas berjumlah RM3 juta.

“Seramai 59 pesalah yang disyaki telah ditahan manakala 52 kes sudah dibawa ke mahkamah,” katanya.

Tambahnya, sejak awal tahun ini hingga sekarang JKDM Kelantan telah menahan 17 individu berkaitan rokok haram dengan jumlah kompaun dicatatkan sebanyak RM250,000. – 9 April 2017.