Pelajar SMK Zainab 2 Maut Lemas Di Sungai

Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SK) Zainab 2 mati lemas ketika mandi-manda bersama rakan-rakan di Sungai Pak Mat Akar, Kampung Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, Muhammad Syahiran Hakim Mohamed Nor, 14, yang tidak pandai berenang dikatakan dilihat terkapai-kapai dalam air sebelum tenggelam di dasar sungai.

Mangsa (gambar) ditemukan pada pukul 12.50 tengah hari oleh pasukan Bomba dan Penyelamat kira-kira dua meter dari tempat dia dilaporkan hilang.

Abang sulung mangsa, Azman, 43, berkata, adiknya pergi ke sungai itu bersama tiga lagi rakan sekelas selepas majlis penyampaian hadiah di sekolah mereka tamat.

“Kelas mereka dinobatkan kelas terbaik keceriaan. Jadi dia sebagai ketua kelas sempat mengambil hadiah tersebut. Selepas majlis tamat mereka ke sungai untuk meraikannya.

“Dia memang tidak biasa mandi di sungai dan memang tidak mahir berenang,” katanya ketika ditemui hari ini.

Tambahnya, mereka sekeluarga reda dengan kejadian yang menimpa mangsa yang disifatkan sebagai seorang yang pendiam.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Paya Rambai petang ini. – 9 April 2017.