Penumpang Terkandas Lapangan Terbang Sibu Ditutup

Sejumlah penumpang terkandas berikutan Lapangan Terbang Sibu ditutup sehingga malam ini bagi membolehkan siasatan terhadap insiden pesawat MAS yang tergelincir malam tadi.

Sebanyak 13 penerbangan tiba dan 12 penerbangan berlepas di Sibu membabitkan Malaysia Airlines dan AirAsia turut dibatalkan.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, penutupan itu bagi membolehkan siasatan terhadap insiden tersebut selain melakukan kerja-kerja pembaikan pesawat.

Dalam kejadian pada pukul 10.17 malam tadi pesawat Boeing 737-800 yang membawa 61 penumpang dan enam anak kapal tergelincir semasa mendarat ketika hujan lebat.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan punca kejadian sedang dijalankan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Sementara itu, sebanyak 48 penerbangan yang dijadual tiba dan berlepas di Lapangan Terbang Sibu hari ini dibatalkan.

Pengurus Lapangan Terbang Sibu, Zainuddin Abu Nasir berkata, daripada jumlah itu, 28 penerbangan adalah MASwings, 16 penerbangan AirAsia dan empat penerbangan Malaysia Airlines.

Menurutnya, penerbangan itu melibatkan destinasi Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuala Lumpur, Bintulu, Miri dan Kuching.

Jumlah keseluruhan penumpang yang terjejas akibat pembatalan penerbangan tersebut ialah 3,787 orang.

Lapangan terbang tersebut dijangka akan beroperasi seperti biasa pada jam 8 malam ini. – 9 April 2017.