Empat Maut Dua Kereta Bertembung

Empat maut termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta awal pagi ini.

Kejadian di Kampung Batu 9, Batang Merbau, Tanah Merah kira-kira pukul 1.39 pagi itu, kereta Proton Saga dinaiki lima beranak bertembung dengan sebuah kereta jenis Nissan Bluebird lalu terbabas sebelum terbalik.

Mangsa yang maut ialah penumpang Proton Saga iaitu Muhamad Saiful Sidik, 17; ibunya, Paridah Ismail, 54, dan anak saudaranya, Nur Assyifa Muhamad Shaharil, 3.

Turut maut ialah pemandu kereta Nissan Bluebird, Mohd. Roza Ismail, 38.

Sementara itu, pemandu kereta Proton Saga yang juga bapa kepada Nur Assyifa, Muhamad Shaharil Sidik, 31, patah paha kiri dan tangan kanan manakala adiknya, Suhailah Sidik, 23, mengalami pendarahan dalam perut.

Mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama. – 10 April 2017.