Lapangan Terbang Sibu Kembali Beroperasi

Lapangan Terbang Sibu kembali beroperasi pada tengah malam tadi selepas ianya ditutup berikutan pesawat MAS tergelincir dari landasan.

Pengurus lapangan terbang itu, Zainuddin Abu Nasir berkata, kerja-kerja penyelenggaraan di landasan tersebut selesai kira-kira pukul 11 malam tadi.

Katanya, notis kepada juruterbang telah dihantar kepada syarikat penerbangan mengenai penyambungan semula operasi.

Lapangan terbang itu ditutup kira-kira pukul 11 malam Sabtu selepas pesawat MAS dari Kuala Lumpur tergelincir ketika cuba mendarat dalam hujan lebat pada pukul 10.17 malam Sabtu.

Kira-kira 3,000 penumpang terkandas selepas penerbangan dibatalkan susulan insiden itu.

Penerbangan mereka yang terjejas dengan penutupan itu akan dijadualkan semula pada Isnin.

Lapangan Terbang Sibu menyediakan penerbangan ke Kuala Lumpur, Johor, Kuching, Miri, Bintulu dan Kota Kinabalu yang melibatkan kira-kira 48 penerbangan. – 10 April 2017.