Mahfuz Mungkin Terlucut Keahlian?

Kemelut dalaman PAS membayangkan kemungkinan seorang lagi bekas pimpinan kanan parti itu, Datuk Mahfuz Omar bakal dilucutkan keahliannya.

Ia menjadi serba kemungkinan apabila Mursyidul Amnya, Hashim Jasin menyatakan rata-rata ahli PAS kini tidak lagi boleh menerima Mahfuz sebagai ahli parti ekoran kenyataan serta kritikan beliau sering menyanggahi pimpinan parti.

Pun demikian, bagi Mahfuz, beliau tidak berasa terkesan dengan kenyataan Mursyidul Amnya itu dan menganggap ia sebagai sunnah kepada seorang pejuang.

“Ada orang kata saya bukan ahli, saya tak terkesan dengan apa tanggapan orang. Walaupun orang halau tapi bagi saya ini sunnah perjuangan,” katanya pada Majlis Makan Malam Perdana PAN di Serdang malam tadi.

Mengulas mengenai dakwaan sering menongkah arus berikutan kenyataan sinikalnya terhadap PAS beliau berkata, ia kerana sayangkan parti Islam itu dan telah berkali-kali cuba untuk membawa PAS “kembali ke landasan” untuk bersama kebangkitan rakyat pada hari ini.

“Saya orang paling sayang kepada PAS. Orang kata saya menongkah arus. Sebenarnya saya dalam arus.”

“Saya cuba selamatkan PAS. Saya mahu PAS kembali ke landasan bersama kebangkitan rakyat.” katanya.

Dalam pada itu, beliau enggan mengulas lanjut tentang perjalanan politiknya selepas ini dengan berkata “terserah kepada ketentuan takdir”.

“Tok guru saya ajar, esok ini hanya dalam ilmu Allah,” tambahnya. – 10 April 2017.