Hadi, Tuan Ibrahim Menang Tanpa Bertanding

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man masing-masing menang tanpa bertanding selepas proses pencalonan bagi Muktamar ke-63 parti itu sekali gus mengekalkan jawatan tersebut.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan berkata, Muktamar PAS Pusat ke-63 akan diadakan di Kedah pada 29 April hingga 1 Mei ini bagi memilih barisan kepimpinan sesi 2017/2019.

“Setelah pencalonan ditutup, jawatan Pengerusi Tetap yang disandang Hussin Ismail dan Timbalan Pengerusi Tetap (Kamal Shaari), Presiden dan Timbalan Presiden telah dimenangi tanpa bertanding oleh penyandang.

“Terdapat lima calon untuk jawatan Naib Presiden termasuk tiga penyandang sebelum ini dan 40 orang telah dicalonkan untuk 18 jawatan anggota Jawatankuasa PAS Pusat untuk dipilih oleh perwakilan,” katanya.

Tiga penyandang Naib Presiden ialah anggota Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad; Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah; dan Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad.

Turut dicalonkan bagi jawatan Naib Presiden ialah Ketua Penerangan PAS yang juga anggota Parlimen Temerloh Nasruddin Hassan; serta Takiyuddin yang juga anggota Parlimen Kota Bharu.

Beliau berkata, calon tersenarai yang menerima pencalonan masing-masing dikehendaki membuat pengesahan sebelum 17 April.

Menurutnya, peraturan pemilihan kali ini memerlukan sekurang-kurangnya 10 pencalonan untuk layak disenaraikan sebagai calon pada pemilihan kali ini berbanding dengan dua pencalonan sebelum ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang memegang jawatan tersebut sejak 2002 menggantikan Allahyarham Datuk Dr. Fadzil Noor manakala Tuan Ibrahim memegang jawatan nombor dua parti sejak 2015. – 11 April 2017.