Kejiranan Raja Dewa Mahu Beli Tanah YIK Bersebelahan Masjid Telipot

Persatuan penduduk kejiranan Raja Dewa menghantar surat tawaran untuk membeli tanah milik Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang terletak bersebelahan Masjid Telipot, di Kota Bharu.

Surat tersebut dihantar oleh Pengerusi kejiranan Raja Dewa, Mohd. Yasmin Yusoff, di pejabat YIK hari ini.

Mohd. Yasmin berkata, tawaran itu semata-mata bagi membantah cadangan pembinaan kondominium 24 tingkat oleh kerajaan PAS Kelantan di atas tapak berkenaan yang boleh memberi kesan kepada pengembangan syiar Islam di kawasan berkenaan pada masa akan datang.

Katanya, tapak tanah itu telah diklasifikasikan sebagai kawasan institusi dan ia tidak sepatutnya dibangunkan kondominium untuk tujuan komersial.

“Kami telah beberapa kali memohon supaya kerajaan negeri tidak meneruskan projek tersebut namun tidak diendahkan.

“Oleh sebab itu, kami sebulat suara bersetuju untuk membayar tanah berkenaan mengikut harga nilaian dan pasaran semasa.

“Kami akan menyerahkan pemilikan tanah kepada pentadbiran Masjid Telipot bagi tujuan pembesaran masjid dan kegunaan pengembangan syiar Islam pada masa akan datang,” katanya ditemui hari ini.

Mohd. Yasmin berkata, pihaknya akan menunggu dalam tempoh 14 hari bagi mendapat maklum balas daripada YIK berhubung tawaran itu.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, pihaknya berharap YIK mempertimbangkan tawaran itu demi kebaikan semua pihak khususnya penduduk sekitar yang majoritinya adalah beragama Islam.

“Difahamkan YIK sedang dalam perancangan untuk membina sebuah kondominium 24 tingkat di atas tapak berkenaan sedangkan sudah banyak kondominium telah dibina di Kelantan. Kenapa perlu memilih tanah di kawasan masjid?

“Saya berharap YIK dapat mempertimbangkan permohonan penduduk di kawasan berkenaan untuk memudahkan mereka beribadah serta membesarkan lagi masjid itu,” katanya. – 11 April 2017.