Pemuda PAS Berhimpun, Bakar Akhbar Nanyang Siang Pau

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kelantan mengadakan perhimpunan aman di Tambatan Diraja, Kota Bharu hari ini.

Ia bagi membantah penyiaran karikatur menghina Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disiarkan akhbar Nanyang Siang Pau baru-baru ini.

Dalam perhimpunan itu lebih 50 penyokong diketuai Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd. Ariff Abdullah membakar puluhan naskah akhbar berkenaan sebagai simbol rasa tidak puas hati mereka.

Menurut Mohd Ariff, pihaknya amat kecewa dengan kebiadapan akhbar tersebut yang telah menggambarkan ulama sebagai seekor monyet yang memakai serban.

“Ini bukan soal menghina Presiden PAS sahaja tetapi lebih daripada itu mereka telah menggambarkan ulama dalam gambaran yang hina.

“Kita amat kesal kerana dalam negara yang pelbagai kaum dan agama kita sepatutnya saling menghormati supaya hidup secara harmoni.

“Walaupun mereka telah mengeluarkan nota kecil meminta maaf tetapi ia tidak mencukupi kerana penghasilan imej itu adalah cubaan menanam sentimen membenci agama Islam,” katanya kepada pemberita hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi DHPP Pusat, Lim Guan Seng dan Setiausaha DHPP Kelantan, R.Hareetaran.

Sementara itu, Guan Seng pula berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana akan mencetuskan perasaan tidak puas hati masyarakat.

Pada Sabtu lalu, akhbar berkenaan mencetuskan kemarahan masyarakat Islam apabila menyiarkan lakaran dua monyet yang merujuk kepada Abdul Hadi dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Karikatur yang disiarkan dalam versi cetak dan online bertajuk ‘Akta Monyet’ menunjukkan seekor monyet bersongkok dan dilabelkan sebagai ‘speaker’ manakala seekor lagi memakai serban bertenggek di pokok ‘Akta 355’. – 11 April 2017.