Rohm Wako Terus Melabur Di Kelantan

Rohm Wako Co Ltd, syarikat pengeluar diod terbesar di dunia menyatakan komitmennya untuk terus melabur di Malaysia khususnya Kelantan bagi membantu meningkatkan tahap ekonomi negeri itu.

Pengerusinya, Datuk Yosuke Yoshioka berkata, kilangnya yang berada di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa itu kini menyediakan 2,100 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Kita akan menambah pekerja sehingga 2,600 orang selepas bangunan baharu berfungsi sepenuhnya.

“Buat masa ini kita menguasai 20 peratus pasaran diod dunia dan akan ditingkatkan kepada 30 peratus dengan pengeluaran 1 bilion unit sebulan kepada 2 bilion unit sebulan dalam masa terdekat di kilang di Pengkalan Chepa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed di Osaka.

Mustapa bersama delegasi perniagaan Malaysia berada di negara matahari terbit itu untuk misi perdagangan di Osaka dan Tokyo. – 10 April 2017.