Guru Silat Dihukum Penjara Lima Tahun, Enam Sebatan

Seorang guru silat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengganas Daesh dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan enam kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas dua pertuduhan memiliki sebiji bom tangan serta dua butir peluru March lalu.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohammad Sabri Mat Zain, 46, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Nazri menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dengan enam sebatan terhadap pertuduhan pertama manakala penjara dua tahun bagi pertuduhan kedua.

Beliau turut mengarahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 21 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki satu senjata api iaitu sebutir ‘Grenade Hand Coloured Smoke Yellow MK IV Lot : 16 SME 3-03 CCC’ dengan menyalahi undang-undang di alamat 2975, Kampung Batu 7, Teluk Kandis, Salor antara pukul 7.55 pagi hingga pukul 1.20 petang, 21 Mac lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman maksimum 14 tahun penjara dan minimum enam sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohammad Sabri didakwa memiliki amunisi iaitu dua butir peluru .38 Special G.F.L dan R.P tanpa lesen atau permit senjata di alamat serta pada masa dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 8 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan memaparkan bahan yang berkaitan dengan kumpulan pengganas dalam akaun Facebook miliknya atas nama ‘Pecula Naga’.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Azrul Hasyimi Mohammad. – 12 April 2017.