Mohd. Amar Sah Pertahan Jawatan Naib Presiden PAS

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah akan mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti itu sempena Muktamar PAS Pusat Ke-63 di Alor Setar, Kedah hujung bulan ini.

Ketika mengesahkan perkara itu, beliau berkata,  pemilihan kali ini dijangka berlangsung dengan aman serta semangat persaudaraan yang kuat dalam kalangan calon bertanding.

“Saya mengesahkan untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden, orang lain saya tidak tahu lagi. Tidak ada masalah pertandingan kali ini dimana menang atau kalah (calon bertanding) semuanya kawan-kawan.

“Pemilihan kali ini juga saya lihat seperti perlawanan persahabatan iaitu kalah atau menang tidak penting,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco hari ini.

Pemilihan bagi jawatan Naib Presiden dijangka menjadi tumpuan sempena Muktamar parti itu kali ini apabila dua calon baharu iaitu Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan mendapat pencalonan untuk jawatan tersebut.

Selain Takiyuddin dan Nasrudin, tiga penyandang iaitu Mohd. Amar, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad turut dicalonkan mengekalkan jawatan itu. – 12 April 2017.