Bukti Baharu: MARA Sedia Kerjasama Dengan SPRM

MARA sedia beri kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pembelian hartanah oleh anak syarikatnya, Mara Incorporated Sdn. Bhd. di Melbourne, Australia.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MARA sedia mengemukakan dokumen berkaitan sekiranya ada bukti dan fakta terbaharu mengenai penyalahgunaan kuasa atau rasuah dalam proses pembelian hartanah itu.

“Walaupun ada gesaan kepada kita untuk dedahkan dokumen berkaitan kepada umum, kita tidak akan berbuat demikian.

“Kita tidak mahu ia mengganggu siasatan SPRM. Tetapi, kalau SPRM minta (dokumen), kita tiada masalah dan kita akan beri,” katanya selepas merasmikan Bazar MARA Semenyih, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Persatuan Perjuangan Masyarakat Kota (PERKATA), Adzly Ab. Manas mahu SPRM membuat siasatan lanjut berikutan penemuan bukti baharu berkaitan pembelian hartanah oleh Mara Incorporated di Australia dengan sebuah syarikat tidak aktif.

Adzly berkata, pihaknya sedia menyerahkan bukti terbaharu itu sekiranya diperlukan.

Pada 26 Jun tahun lalu, Pengerusi MARA yang kini sedang bercuti, Tan Sri Annuar Musa menyerahkan pelbagai dokumen kepada SPRM berkaitan pembelian pangsapuri oleh Mara Incorporated di Australia. – 13 April 2017.