Dadah Bernilai RM24,500 Dirampas Dalam Dua Serbuan

Polis merampas dadah bernilai RM24,500 dalam dua serbuan berasingan di Bachok semalam.

Serbuan itu dilakukan oleh pasukan narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok di Jelawat dan Pantai Irama.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, serbuan pertama di sebuah stesen minyak di Jelawat pada pukul 6.30 petang membawa kepada penahanan seorang lelaki Melayu berusia 24 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap lelaki tersebut mendapati 40 tiub straw yang mengandungi pil berwarna merah.

“Setiap satu tiub ada 10 biji pil merah yang disyaki dadah jenis pil kuda. Ia menjadikan keseluruhan 400 biji pil kuda yang bernilai RM8,000.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek juga positif dadah,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Tambahnya, serbuan kedua pada pukul 7.15 malam pula pihaknya menahan seorang lelaki Melayu yang sama usia di Pantai Irama dan hasil pemeriksaan mendapati bungkusan mengandungi 579 biji pil merah dan hijau.

Beliau memberitahu, turut ditemui ialah ketulan dadah jenis syabu seberat 160 gram dalam beberapa bungkusan plastik.

“Kedua jenis dadah itu dianggarkan bernilai RM16,500,” katanya.

Menurutnya, suspek disiasat mengikut seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-duanya kini direman sehingga 18 April ini. – 13 April 2017.