Kelantan Tewas, JDT Rampas Tahta Liga

Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan kebangkitan bergaya untuk membenam Kelantan 3-2 sekaligus berjaya merampas tahta Liga Super dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam tadi.

Kemenangan berharga ke atas musuh tradisi di hadapan lebih 15,000 penyokong setia skuad The Red Warriors ( TRW) itu membolehkan JDT kini mengumpul 20 mata mengatasi Pahang dan Kedah masing-masing ditempat kedua dan tiga dengan 19 mata.

Pada perlawanan tersebut Kelantan berjaya mendahului JDT 2-0 menerusi jaringan penyerang import sensasi mereka Mohammad Ghadar pada minit kelima dan 16 sekaligus menggamatkan seketika suasana di gelanggang keramat TRW itu.

Pelawat tidak mudah patah semangat sebaliknya bangkit merapatkan jurang menerusi sepakan percuma cantik Safiq Rahim yang gagal diselamatkan oleh Khairul Fahmi Che Mat menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-19.

Perlawanan sedikit tegang pada minit ke-29 apabila pengadil Md. Nazmi Nasaruddin menghadiahkan sepakan penalti kepada pelawat dan Gabriel Migual Guera tenang menyempurnakan tendangan itu untuk gol penyamaan walaupun dibantah keras pemain TRW.

Seminit berselang Guera menambah derita tuan rumah apabila menjaringkan gol ketiga sekaligus mengembalikan semula tekanan kepada TRW.

Bersambung babak kedua, tuan rumah cuba bangkit untuk mendapatkan jaringan penyamaan namun dihampakan oleh ketumpulan barisan penyerang Kelantan.

Kelantan terus dirundung malang apabila terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain selepas tonggak pertahanan Mohd. Qayyum Marjoni Sabil yang menarik baju Guera dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan.

Keputusan 3-2 itu kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus menyaksikan harapan Kelantan untuk menewaskan JDT di hadapan penyokong sendiri tidak kesampaian. – 13 April 2017.