Rasuah: Pemangku Pengarah Agensi Kerajaan Ditahan

Seorang pemangku pengarah sebuah agensi kerajaan ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah untuk mengeluarkan pas pemindahan beras.

Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 56 tahun itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Bharu, Nor Faizah Abdullah bermula hari ini sehingga Selasa depan.

Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Moh Samsudin Yusoff ketika dihubungi berkata, suspek ditahan di sebuah restoran di Kubang Kerian pada jam 3.30 petang semalam.

“Dia ditahan selepas disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM3,500 daripada seorang lelaki,” katanya.

Difahamkan, wang itu dipercayai sebagai dorongan untuk mengeluarkan pas memindah beras dari Kelantan ke Perak.

Suspek tiba di Mahkamah Majistret Kota Bharu pada jam 11.45 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. – 13 April 2017.