Tuduhan Rafizi Tidak Berasas

PAS menyifatkan tuduhan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa kepimpinan parti itu menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah tidak berasas sama sekali.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, malah tindakan Ahli Parlimen Pandan itu hanya akan menyebabkan hubungan kedua-dua parti berkenaan menjadi semakin parah dan tidak mustahil bakal berakhir.

“Bagi kita, tuduhan Rafizi itu tidak perlu diberikan perhatian serius memandangkan rekod beliau (Rafizi) selama ini membabitkan pelbagai pendedahan semuanya tidak betul termasuk membabitkan isu cincin (isteri Perdana Menteri),” katanya.

Rafizi sebelum ini mendakwa mempunyai bukti dan maklumat mengenai terdapat individu yang rapat dengan PAS menerima dana daripada 1MDB.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, Rafizi sepatutnya memberi tumpuan mengenai pendedahan penulis blog Raja Petra Kamarudin sebelum ini bahawa PKR menerima dana daripada individu tertentu.

Katanya, PKR sepatutnya mengambil tindakan saman terhadap Raja Petra sekiranya pendedahan itu tidak benar bukan cuba mengalih perhatian dengan menyerang PAS.

“Selama ini, mereka (PKR) menekan PAS dalam isu dana RM90 juta, minta kita saman Sarawak Report dan sebagainya. Bagi saya pendedahan Raja Petra itu lebih serius mengapa PKR tidak saman.

“Bagi saya sekiranya PKR hanya menafikan perkara tersebut, apa yang didedahkan Raja Petra itu adalah benar,” katanya. – 13 April 2017.