Kelantan Mahu Khidmat Jurulatih Luar Negara

Kelantan dijangka mendapatkan khidmat jurulatih luar negara dalam usaha memperkasakan barisan pemainnya menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Penasihat Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, menerusi entri terbaru akaun Facebooknya menyatakan perkara itu akan dipertimbangkan.

“Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail, ada menghubungi saya bagi kali kedua memohon saya membantu KAFA dengan membawa jurulatih antarabangsa.

“Kita usahakan jika perlu begitu,” katanya.

Tambahnya, perkara itu akan dipertimbangkan selepas melalui perbincangan bersama pengurus pasukan, Datuk Rosmadi Ismail dan Pemangku Presiden KAFA, Datuk Afandi Hamzah.

Kelantan yang dilihat aksinya kian tumpul kini berada pada kedudukan keenam dengan 12 mata.

Dalam aksi terakhir Rabu lalu di laman sendiri, skuad tuan rumah tewas 2-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT). – 14 April 2017.