Ketua Angkatan Muda Keadilan Direman Lima Hari

Ketua Angkatan Muda Keadilan Ampang, Datuk Adam Rosly direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kekayaannya yang disifatkan sebagai luar biasa.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret, Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman terhadap Adam, 29, sehingga 18 April ini.

Dia yang ditahan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas memberikan keterangan semalam di siasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Kekayaan Adam mendapat perhatian tahun lalu kerana memiliki banglo berbentuk istana di Ampang pada usia muda.

Adam bagaimanapun mempertahankan dirinya dengan memaklumkan kekayaan itu termasuk RM1 juta untuk membeli kediaman mewah itu diperolehi hasil perniagaan yang diceburinya selain mewarisi daripada keluarganya. – 14 April 2017.