Nik Abduh Tinggalkan Pemuda Berwibawa

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS yakin individu yang dicalonkan untuk jawatan tersebut mempunyai kewibawaan tersendiri.

Mohamad Abduh berkata, tiga pemimpin yang mendapat pencalonan iaitu Timbalan Ketua Pemuda, Muhammad Khalil Abdul Hadi, Naib Ketuanya, Khairil Nizam Khiruddin dan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari sememangnya layak memimpin dewan Pemuda PAS.

Sehubungan itu, beliau berharap para perwakilan dapat membuat pilihan terbaik pada pemilihan itu nanti.

“Saya yakin, saya telah berjaya meninggalkan rakan-rakan pemuda yang berwibawa dan bersatu. Terserahlah pada perwakilan untuk menentukan siapa yang layak memegang jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS.

“Saya sentiasa doakan yang terbaik untuk Dewan Pemuda PAS,” katanya.

Pemilihan parti itu sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-63 pada 29 April hingga 1 Mei ini di Alor Setar, Kedah menyaksikan tiga pencalonan bagi jawatan Ketua Pemuda PAS selepas Mohamad Abduh mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan.

Mereka yang dicalonkan itu ialah Muhammad Khalil, Khairil Nizam dan Ahmad Fadhli. – 14 April 2017.