Pastikan Masalah Tunggakan Gaji Selesai – TMJ

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengingatkan setiap pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia tidak lagi membangkitkan masalah tunggakan gaji pemain selepas badan induk bola sepak itu mengeluarkan dana untuk tujuan tersebut.

Menerusi kenyataan rasmi yang disiarkan dalam laman Facebook FAM hari ini, Tunku Ismail berkata, isu tunggakan gaji menjadi keutamaannya sebaik sahaja mengemudi persatuan tersebut pada 25 Mac lalu bagi memastikan setiap pasukan tidak dibebani hutang.

Jelas baginda, sepatutnya, FAM melangsaikan hutang persatuan kepada pasukan bertanding iaitu baki RM500,000 kepada pasukan Liga Super dan baki RM250,000 kepada pasukan Liga Perdana.

“Sebanyak RM9 juta telah dibayar oleh FAM kepada 24 pasukan terlibat walaupun FAM sendiri berdepan masalah kewangan.

“Pembayaran itu sekali gus melengkapkan wang insentif tahunan untuk diterima setiap pasukan bagi tahun 2017 ini iaitu sebanyak RM1 juta bagi (setiap) pasukan Liga Super dan RM500,000 bagi (setiap) pasukan Liga Perdana dengan jumlah keseluruhannya adalah sebanyak RM18 juta,” ujar beliau.

Beberapa pasukan Liga Malaysia sebelum ini dilanda kemelut kewangan sehingga menyaksikan gaji pemain tertunggak selama beberapa bulan, sekali gus menjadi isu berterusan yang gagal diselesaikan FAM sendiri sejak beberapa tahun lalu.

Dalam kenyataan yang sama, Tunku Ismail turut menyarankan agar wang yang dibayar digunakan sebaik mungkin oleh setiap pasukan bagi melancarkan operasi pengurusan kelab.

Malah, baginda memberi amaran bahawa tindakan lebih drastik akan dikenakan jika ada pasukan membangkitkan masalah tunggakan gaji pemain.

“Saya percaya, terdapat beberapa pemain pasukan yang masih menanti tunggakan gaji mereka dan saya berharap pihak berkenaan melangsaikan hutang tersebut dengan segera atau dikenakan tindakan seterusnya

“Saya tidak mahu mendengar alasan pasukan tidak membayar gaji pemain kerana FAM masih berhutang dengan mereka,” katanya. – 14 April 2017.