Ah Chong Direman Tujuh Hari

Bekas pemain bola sepak kebangsaan ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung isu mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana membabitkan kelab Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA).

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman mengeluarkan perintah reman terhadap Khairul Anuar yang dikenali sebagai Ah Chong itu bermula hari ini.

Ah Chong ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam selepas beliau menyerah diri bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Selasa lepas, SPRM meminta beliau hadir ke ibu pejabat SPRM secepat mungkin.

Beliau yang pernah bermain untuk pasukan Selangor dan Negeri Sembilan disiasat mengikut Seksyen 16(b) (A) Akta SPRM 2009 yang membawa kepada hukuman denda lima kali ganda nilai suapan dan penjara maksimum 20 tahun.

Pada 6 April, tiga pemain bola sepak MISC-MIFA; dua pemain tempatan masing-masing berusia 26 dan 27 tahun dan pemain import Argentina berusia 29 tahun ditahan reman kerana dipercayai menerima rasuah antara RM10,000 dan RM30,000 daripada bookie untuk menentukan perlawanan.

Pada 7 April, seorang pekerja kedai besi buruk dipercayai sebagai bookie, ditahan reman kerana menawarkan sejumlah wang dengan nilai ribuan ringgit kepada pemain kelab itu untuk menentukan keputusan perlawanan Liga Perdana musim ini.

Rabu lepas, tiga pemain MIFA yang ditahan reman selama tujuh hari berhubung kes yang sama telah dibebaskan dengan jaminan SPRM oleh Mahkamah Majistret Putrajaya manakala bookie berkenaan disambung reman sehingga 17 April ini. – 15 April 2017.