Bunuh Warga Emas: Empat Lagi Suspek Ditahan

Empat lagi suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes samun dan bunuh warga emas di Kampung Batu Mengkebang, Kuala Krai, Rabu lepas.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, suspek terbabit ditahan pada Jumaat dan semalam.

“Mereka ditahan hasil siasatan terhadap empat suspek yang ditahan sebelum ini, selain keterangan daripada saksi yang mempunyai hubung kait dengan mangsa.

“Semua suspek yang berusia antara 25 dan 40 tahun itu ditahan di kediaman masing-masing di sekitar Kuala Krai antara 10 hingga 12 tengah malam.

“Hasil siasatan awal mendapati seorang suspek positif dadah. Dengan keterangan yang ada, kami yakin kes ini dapat segera diselesaikan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam kejadian Rabu lepas, seorang warga emas Rokiah Mamat, 61, ditemui terbaring oleh anaknya, Che Hasmarizal Che Hassan, 30, dalam keadaan berlumuran darah di ruang dapur rumahnya pada 3.30 petang.

Siasatan polis mendapati suspek menggunakan senjata tajam untuk membunuh mangsa berikutan terdapat enam kesan tikaman pada belakang dan tengkuk mangsa selain keadaan rumah yang berselerak. – 16 April 2017.