MARA Akan Ambil Keterangan Annuar

Tan Sri Annuar Musa dijangka akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung dakwaan beberapa kes penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa termasuk berkaitan penajaan pasukan bola sepak Kelantan.

Pengerusi Sementara Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, siasatan Jawatankuasa Audit Dalaman Mara berhubung isu itu kini dalam peringkat akhir dan Annuar akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan dalam masa terdekat.

“Jawatankuasa ambil sedikit masa kerana perlu buat analisis dengan teliti. Terpulang kepada mereka (bila untuk memanggil Annuar), tetapi dijangka tidak lama lagi, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Usahawan MARA di Kuantan malam tadi.

Katanya, anggota jawatankuasa audit berkenaan perlu diberikan kebebasan dan masa secukupnya bagi memastikan siasatan dijalankan dengan adil dan saksama.

Akhir Januari lalu, Annuar digantung tugas sebagai Pengerusi MARA dan Pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan audit dalaman agensi itu menyiasat isu penajaan Pelaburan Mara Bhd (PMB) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).

Annuar menafikan terbabit dalam sebarang salah guna kuasa berhubung keputusan PMB dan UniKL menaja pasukan TRW.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dilaporkan telah memanggil sembilan individu termasuk Annuar sendiri bagi memberi keterangan berhubung isu itu pada awal Februari lalu. – 16 April 2017.