Temu Mayat Sudah Berbau

Mayat seorang lelaki ditemui dengan keadaan berbau busuk di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batu 11, Tanah Merah petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, mayat tersebut dijumpai seorang penduduk yang terhidu bau busuk berhampiran rumahnya.

“Siasatan mendapati, tempat kejadian adalah sebuah rumah kedai yang tidak digunakan sepenuhnya.

“Si mati telah membuat dinding dengan papan lapis dan jadikan bilik tempat tinggalnya dengan keluasan 1.2×2.4 meter dan ada sebuah pintu papan,” katanya hari ini.

Suzaimi berkata, siasatan di tempat kejadian tidak menunjukkan kesan atau unsur jenayah.

Menurutnya, kali terakhir mangsa dilihat oleh jirannya kira-kira pukul 11 malam Khamis lalu ketika ke kedai membeli roti.

“Pemeriksaan rekod lampau mendapati si mati ada lima kes lampau di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1957 dan satu rekod kes di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat. – 16 April 2017.