Berhenti Niaga Waktu Solat Maghrib

Kerajaan PAS Kelantan mengarahkan peniaga di negeri itu menghentikan aktiviti masing-masing ketika masuk waktu solat Maghrib.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, arahan tersebut turut melibatkan peniaga bukan Islam.

Katanya, ia bagi memastikan peniaga dan pembeli menunaikan sembahyang Maghrib sebelum meneruskan perniagaan masing-masing.

“Semua peniaga terlibat, termasuk bukan Islam. Ini dapat memberi masa kepada mereka untuk berehat dan menunaikan sembahyang.

“Lagipun ia bukannya lama, kira-kira 10 minit sahaja. Yang penting tiada perniagaan ketika azan dan boleh sambung semula urus niaga selepas sembahyang,” katanya memetik laporan sebuah portal berita hari ini.

Menurutnya, peniaga yang ingkar akan diberikan amaran terlebih dahulu sebelum dikenakan larangan sementara jika terus berdegil.

“Sama seperti penguatkuasaan tahap kebersihan. Mereka akan dibenarkan berniaga semula selepas membuat aku janji untuk mematuhi arahan,” katanya.

Beliau berkata, arahan tersebut telah dikeluarkan kepada pasar raya di bandar-bandar utama dan ia akan diperluaskan ke premis-premis lain.

Katanya, selain mendapat sokongan persatuan peniaga, langkah tersebut turut mendapat pujian orang ramai. – 17 April 2017.