Bukan Layanan Istimewa – Hishammuddin

Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak menganggap peranan baharunya selepas dilantik Menteri Dengan Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, sebagai layanan istimewa.

Beliau berkata, sebaliknya ia tidak ubah satu tanggungjawab yang diamanahkan untuk dilaksanakan dengan penuh ikhlas dan jujur.

“Tugas utama saya sekarang adalah membantu perdana menteri dengan menjaga keselamatan di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan di Wisma Perwira.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, melindungi Sabah adalah satu daripada tugasnya sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas dengan lebih banyak lagi akan menyusul.

Katanya, selain membantu perdana menteri yang mengetuai jawatankuasa Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), beliau juga akan bekerjasama dengan lembaga penasihat Esszone yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

“Ia boleh jadi apa sahaja dan segalanya tapi saya belum bersedia untuk mengumumkan mengenainya lagi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pihak tertentu berhenti daripada cuba melaga-lagakannya dengan Ahmad Zahid berikutan perlantikan tersebut.

“Pihak-pihak ini mempunyai agenda mereka sendiri. Hubungan kami sebenarnya sangat erat.

“Saya lebih suka memberi tumpuan kepada tugas saya daripada mempedulikan pihak yang tidak berpuas hati,” katanya.

Hishammuddin dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas pada 12 April lalu. – 17 April 2017.