Husam Pertikai Arahan Bukan Islam Juga Kena Berhenti Waktu Solat Maghrib

Penasihat PAN Kelantan, Datuk Husam Musa mempertikaikan arahan kerajaan negeri itu yang mewajibkan semua peniaga termasuk bukan Islam agar menghentikan aktiviti masing-masing ketika masuk waktu solat Maghrib.

Beliau berkata, arahan tersebut yang melibatkan peniaga bukan Islam adalah tidak sesuai.

“Orang bukan Islam tidak perlu solat, saya percaya pelanggan di kedai bukan Islam juga bukan orang Islam,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Amanah Negara hari ini.

Kerajaan PAS Kelantan hari ini mengarahkan peniaga di negeri itu menghentikan aktiviti masing-masing ketika masuk waktu solat Maghrib.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, arahan tersebut turut melibatkan peniaga bukan Islam.

Katanya, ia bagi memastikan peniaga dan pembeli menunaikan sembahyang Maghrib sebelum meneruskan perniagaan masing-masing.

“Semua peniaga terlibat, termasuk bukan Islam. Ini dapat memberi masa kepada mereka untuk berehat dan menunaikan sembahyang.

“Lagipun ia bukannya lama, kira-kira 10 minit sahaja. Yang penting tiada perniagaan ketika azan dan boleh sambung semula urus niaga selepas sembahyang,” katanya.

Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Salor berkata, kerajaan negeri mengeluarkan arahan itu bagi menunjukkan mereka lebih Islamik.

“Kelantan janji mahu beri kesenangan kepada rakyat, tapi tak buat, itu sudah dikira tidak Islamik,” katanya. – 17 April 2017.