PAS Jangka PRU14 Antara Julai Hingga September

PAS meramalkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bergantung kepada kemampuan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menggugat undi orang Melayu.

Dalam temubual eksklusif bersama Sinar Harian, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menjangkakan, ia bakal berlangsung di antara Julai hingga September tahun ini.

“Semuanya bergantung sekiranya parti Bersatu (PPBM) dilihat boleh menggugat UMNO.

“Pada pendapat saya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak takut dengan Bersatu kerana parti itu boleh kacau undi orang Melayu.

“Oleh itu, jika Bersatu dilihat boleh gugat UMNO maka PRU akan diadakan pada Julai namun kalau mereka rasa yakin, PRU akan diadakan pada September,” katanya.

Tambah Mohd.Amar, beliau mendapat maklumat bahawa perdana menteri kini sedang membuat kaji selidik untuk lihat kekuatan PPBM.

“Kaji selidik itu dibuat di seluruh negeri di beberapa kawasan tertentu untuk lihat kekuatan dan pengaruh Bersatu.

“Macam parti lain seperti DAP, PKR dan PAS sendiri, UMNO dah tahu kekuatan mereka, tapi Bersatu, mereka tidak tahu.

“Tambahan pula, Bersatu punyai potensi besar untuk rampas undi orang melayu maka ia jadi satu risiko besar buat UMNO,” katanya.

Dalam pada itu beliau mendakwa, PPBM telah melakukan satu kesilapan besar apabila menyertai Pakatan Harapan.

Katanya, PPBM berdepan jalan sukar untuk mendapatkan undi Melayu apabila menyertai Pakatan Harapan kerana mereka tidak menyokong DAP.

“Bagaimanapun ini semua andaian sahaja, jika nak tahu keputusannya, kena tunggu PRU14 nanti,” ujarnya.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, mana-mana parti yang ingin mentadbir Malaysia perlu memilih sama ada PAS ataupun UMNO kerana kuasa politik orang Melayu terletak pada kedua-dua parti itu.

“Kuasa politik orang Melayu ada pada PAS dan UMNO. Jika mana-mana parti nak tadbir Malaysia, pilih PAS atau UMNO,” kata Abdul Hadi. – 17 April 2017.