Pejabat MB Kelantan Dipecah Masuk

Pejabat Menteri Besar Kelantan di Kompleks Darul Naim hari ini dipecah masuk individu tidak dikenali.

Setiausaha Sulit Menteri Besar, Ahmad Syazwan Muhammad Hasan memberitahu, kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi itu hanya disedarinya ketika memasuki ke pejabat berkenaan pagi tadi.

“Semasa masuk pejabat pagi tadi saya mendapati beberapa dokumen berselerak di lantai dan terdapat beberapa kesan umpilan pada laci serta rak besi.

“Bilik pegawai kerajaan dan kakitangan lain juga ada kesan cungkil pada pintu dan tingkap cermin pejabat mereka,” katanya.

Beliau berkata, satu laporan polis mengenainya telah dibuat di Balai Polis Kota Bharu pagi tadi.

Katanya, bagi membantu siasatan pihaknya turut menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kepada pihak polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, mengesahkan kejadian berkenaan dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – 17 April 2017.