Penulis Blog Bakal Berdepan Saman Husam

Penulis blog, Zaharin Mohd. Yasin berdepan tindakan saman sekiranya gagal membuat permohonan maaf berhubung dakwaannya terhadap Naib Presiden PAN, Datuk Husam Musa menerima wang daripada sebuah syarikat berkaitan dengan perjudian.

Husam memberi tempoh selama tujuh hari untuk Zaharin berbuat demikian sebelum beliau mengambil tindakan saman.

Katanya, surat tuntutan guaman telah dihantar kepada penulis blog itu memastikan Zaharin membuat permohonan maaf dan menarik balik dakwaan tersebut.

“Apa yang dikatakan Zaharin tidak benar sama sekali. Pihak kami akan buat tuntutan saman dan fail tuntutan ini akan membuktikan yang tuduhan Zaharin tak benar,” kata Husam dalam sidang akhbar hari ini.

Baru-baru ini Zaharin dikatakan mendakwa Husam menerima wang tersebut tetapi bukan untuk dirinya sebaliknya untuk PAS.

Menurut Zaharin, ia berlaku ketika Husam masih bersama parti itu.

Zaharin juga menulis, duit tersebut telah dijelaskan bukan hasil judi sebaliknya daripada perniagaan lain yang bukan haram. – 17 April 2017.