Abdul Hadi Ajak Umat Islam Maafkan Akhbar Nanyang

 

Ketika ahli dan penyokong PAS mendesak pihak berwajib mengambil tindakan tegas terhadap akhbar Nanyang Siang Pau berhubung isu karikatur, presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta umat Islam di negara ini memaafkan akhbar berkenaan.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook beliau, Abdul Hadi berkata, PAS telah menerima permohonan maaf daripada akhbar harian berbahasa Cina itu pada 12 April lepas.

“Saya mengajak umat Islam yang terguris dengan penerbitan karikatur berkenaan agar dapat bersama saya untuk memaafkan pihak akhbar berkenaan, dengan harapan agar ianya tidak berulang lagi di masa depan.

“Saya merasakan kesilapan penerbitan ini berlaku adalah akibat dari keterlanjuran dan kejahilan mereka dalam memahami batasan sensitiviti agama yang sangat halus,” katanya.

Kelmarin, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed memberitahu, Kementerian Dalam Negeri telah menerima permohonan maaf dan penjelasan Nanyang Siang Pau berhubung kontroversi karikatur tersebut.

Nur Jazlan berkata, tiada tindakan akan diambil terhadap akhbar berkenaan serta menegaskan bahawa kesilapan yang sama tidak seharusnya diulangi kerana ia telah menyebabkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli PAS dan rakyat.

“Kementerian Dalam Negeri akan mula melihat insiden seperti ini dengan serius dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan serius.

“Kita tidak boleh menyakiti hati orang lain dan kemudian hanya meminta maaf,” beliau dipetik sebagai berkata di Gelang Patah.

Akhbar tersebut menyiarkan karikatur dengan menggambarkan Abdul Hadi dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai monyet.

Kartun yang bertajuk “Akta Monyet” itu memaparkan dua monyet yang duduk di sebatang pokok ‘355’, manakala terdapat sekumpulan monyet berkelahi di bawahnya.

Seekor monyet di pokok itu memakai songkok dilabelkan sebagai ‘speaker’ manakala seekor lagi memakai serban dilabelkan sebagai ‘Abdul Hadi’.

Ia diterbitkan dua hari selepas Abdul Hadi membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 pada Khamis lalu. – 18 April 2017.