Mahathir Kata BN Menang PRU14

Tun Dr.Mahathir Mohamad berkata Barisan Nasional (BN) dan UMNO mempunyai peluang cerah untuk menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berikutan keengganan PAS bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

Menerusi catatan terbaharu di blognya, Mahathir berkata, berdasarkan rekod PAS, parti Islam itu tidak akan mencatat kemenangan lebih 15 kerusi daripada keseluruhan 80 kawasan yang ditandingi.

“PAS tahu mereka akan kalah di kebanyakan kerusi, tetapi mereka masih mahu bertanding kerana mempertahankan pendirian mereka, menyebabkan berlaku saingan tiga penjuru atau lebih.

“Dengan bertanding sebegini, PAS bukan saja akan kalah, tetapi mengheret semua parti pembangkang bersama mereka.

“UMNO akan menang kerana keretakan dalam pembangkang ,” kata Pengasas Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu.

Beliau berkata, PAS akan “membelanjakan sejumlah wang yang banyak” untuk memberi kemenangan kepada BN dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Jadi tidaklah keterlaluan untuk dikatakan PAS dibawah kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong Najib.

“Ketegasan mereka berkaitan calon untuk kerusi yang tidak akan dimenangi bermakna PAS menyokong Najib dan UMNO,” katanya.

Beliau berkata, tindakan PAS hanya memecahbelahkan Melayu dan komuniti Islam sejak penubuhannya. – 18 April 2017.