PRU14 Bila-Bila Masa

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semakin hampir. Sekarang
ini, di mana saja, termasuklah dikedai-kedai kopi rancak
membicarakan tentang PRU.

Mengikut amalan biasa, Barisan Nasional (BN) akan mengadakan
kem motivasi atau bina semangat beberapa bulan sebelum PRU
diadakan dan, kem itu telahpun diadakan baru-baru ini di
Institut Latihan Memperkasa Ummah, Janda Baik Pahang.

Kem tersebut dihadiri semua pemimpin parti komponen BN,
termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak;
Timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin-
pemimpin BN negeri. Ini tambah menguatkan lagi PRU14 akan
diadakan pada bila-bila masa.

Apatah lagi, analisa mengenai kedudukan BN dalam PRU akan
datang mengikut negeri juga telah dilakukan menerusi kem
berkenaan. Bahkan semua pemimpin BN di setiap peringkat
negeri turut memberi taklimat berhubung perkembangan politik
di negeri masing-masing.

Justeru banyak pihak yang meramalkan PRU14 akan diadakan
dalam masa terdekat dengan yang terawal ialah akhir Mei atau
Jun ini. Ia berdasarkan pada bulan itu UMNO akan menyambut
ulang tahunnya yang ke-71. Di situ mereka akan tunjukkan
kekuatan dengan acara gilang-gemilang bagi meyakinkan rakyat
bahawa UMNO/BN tetap relevan.

Sesetengah pihak yang lain pula meramalkan PRU14 akan
diadakan selepas Sukan SEA Kuala Lumpur yang akan berlangsung
pada 17 hingga 31 Ogos ini.

Mereka berpendapat, PRU14 amat sesuai diadakan dalam tempoh
tersebut dengan mengambil kira aura atau semangat patriotisme
di bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia pada 16 September.

Jika ia berlaku dalam tempoh itu, ini bermakna PRU14 diadakan
sebelum Perhimpunan Agung UMNO yang biasanya diadakan pada
Disember.

Namun ada yang lebih yakin PRU akan diadakan lebih awal
iaitusebelum Dewan Rakyat bersidang semula pada Julai depan.
Ia kononnya bagi mengelak RUU 355 yang dibentangkan oleh Ahli
Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini
dibahas di Dewan Rakyat.

Dalam satu ramalan lain, ada yang mengatakan PRU akan
diadakan pada suku pertama tahun hadapan iaitu Mac 2018.

Bagi mereka, Perdana Menteri tidak perlu terburu-buru untuk
memanggil bagi mengadakan PRU14 dalam masa terdekat.

Perdana Menteri sewajarnya menggunakan masa yang ada untuk
menyelesaikan segala isu terutama isu-isu rakyat yang
berbangkit sebelum ini antaranya kos sara hidup, kenaikan
harga barang dan lain-lain lagi sebelum memanggil pilihan
raya.

Kegagalan Perdana Menteri atau kerajaan yang ada
menyelesaikan isu-isu tersebut tidak menjamin BN boleh menang
bergaya dalam PRU nanti. Justeru, Perdana Menteri perlu
bijaksana dalam membuat keputusan ketika arus politik yang
dilihat semakin tidak keruan.

Persidangan pertama Dewan Rakyat Penggal Ke-13 diadakan 24
Jun 2013.

Mengikut peraturan, tempoh matang bagi PRU13 hanya berakhir
pada 24 Jun 2018. Ini bermakna Perdana Menteri mempunyai masa
kira-kira setahun lagi untuk membubarkan Dewan Rakyat.

Perdana Menteri boleh memanfaatkan masa tersebut dengan
pelbagai agenda untuk kesejahteraan rakyat.