Hishammuddin Bukan Ambil Tugas PMTPM

Pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Dengan Tugas-Tugas Khas adalah bagi melengkapi usaha serius kerajaan menangani pelbagai isu dalaman dan antarabangsa.

Timbalan perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bukan untuk mengambil alih tugas Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sebagaimanana telahan sesetengah pihak.

Beliau mengakui, mencadangkan nama Hishammuddin untuk memikul amanah itu seperti dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

“Cadangan itu dibuat oleh saya kepada Perdana Menteri kira-kira tiga bulan lalu dan ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin tidak ada dalam mesyuarat.

“Ini adalah satu pancaran keikhlasan saya secara peribadi dan rasmi kepada Datuk Seri Hishammuddin kerana kami bertiga (termasuk Perdana Menteri) pernah menjadi Menteri Pertahanan dan tahu banyak tugas lain yang perlu dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Hishammuddin di pejabatnya hari ini.

Ahmad Zahid memberitahu, beliau dan Hishammuddin membincangkan beberapa tugasan pada pertemuan berkenaan, antaranya untuk memperkukuh institusi kepemimpinan kerajaan dan parti.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, kunjungan berkenaan membuktikan hubungan erat beliau dan Ahmad Zahid serta mengakui selesa untuk bekerja bersama di bawah portfolio baharunya. – 19 April 2017.