PAS Kini Pemimpinnya Bermewah-Mewah Dengan Kereta Mahal – Raja Kamarul Baharin

“PAS hari ini bukan seperti PAS dulu”, demikian kata seorang bekas ahli parti itu, Raja Kamarul Baharin.

PAS kini kata Raja Kamarul, pemimpinnya bermewah-mewah dengan kereta mahal sedangkan ahli akar umbi tidak mempunyai dana cukup untuk menguruskan cawangan di kawasan pedalaman dan pinggir bandar.

“Tetapi keadaan orang atasan tidak seperti itu. Mereka ada wang. Bila PAS berhimpun, tengok sahaja barisan kereta mewah dan pacuan 4 roda. Kereta import dipamerkan seolah pameran kereta,” katanya memetik laporan sebuah portal berita online hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad yang menolak saranan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli baru-baru ini yang mahu pimpinan parti Islam itu menyiasat sama ada ia menerima dana 1MDB.

Rafizi pada 13 April mendakwa bekas timbalan presiden PAS, Datuk Nasharudin Mat Isa, pernah menerima sebahagian wang 1MDB.

“PAS perlu kembali semak pastikan tidak ada satu sen pun wang 1MDB kerana rapatnya Dr. Nasharudin Isa dengan tokoh-tokoh yang masih mahu menggabungkan UMNO dan PAS,” kata Rafizi.
Nasharudin menafikan tuduhan itu dan menganggapnya fitnah.

Bagaimanapun Idris menafikan dakwaan itu.

“Kita pun ‘sengkek’ (tiada wang) hingga bil elektrik hampir dipotong, kalau ada duit kita tak jadi begitu,” katanya.

Raja Kamarul kemudiannya menyelar kenyataan tersebut dengan berkata “sekiranya benar PAS sukar menjelaskan bil elektrik, pemimpin parti itu boleh membuat pengorbanan dengan menjual salah sebuah kereta mewah mereka”.

Tambahnya, pemimpin perlu berkorban dalam membantu perjuangan parti bukan hanya menunjuk-nunjukkan kemewahan secara terbuka.

“Itu bukan lagi rahsia,” katanya yang juga bekas Ahli Parlimen PAS Kuala Terengganu. – 19 April 2017.