Rasuah: Exco Johor, Perunding Hartanah Mengaku Tidak Bersalah

Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Abd. Latif Bandi bersama seorang perunding hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas 33 pertuduhan rasuah hartanah bernilai RM 30.3 juta.

Abd. Latif, 51, dan Amir Shariffuddin Abd. Raub, 44, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan hakim, Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Mengikut pertuduhan, Abd. Latif didakwa bersubahat dengan Amir Shariffuddin untuk menerima suapan sebagai mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah lot Bumiputera kepada pembeli awam serta pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor bagi Projek Eco Botanic, Pulai.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan di antara 13 November 2013 hingga 19 Oktober tahun lalu di sebuah bank di Larkin Perdana.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya SPRM, Datuk Masri Mohd. Daud dan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Amir Nasruddin

Abdul Latif pula diwakili Datuk Hasnal Rezua Merikan bersama Adzly Abd. Manas manakala Amir Shariffuddin diwakili Azrul Z Stork.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM2 Juta setiap seorang dengan satu penjamin selain pasport antarabangsa mereka diserahkan sehingga tamat perbicaraan.

Mohd. Fauzi menetapkan 23 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – 19 April 2017.