Siasatan Kes MARA Incorporated Ambil Masa Sehingga Hujung Tahun

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan siasatan kes pembelian hartanah oleh MARA Incorporated Sdn. Bhd. (MARA Inc) di Australia mungkin mengambil masa sehingga hujung tahun ini berikutan maklumat baharu diterima suruhanjaya itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Azam Baki berkata, SPRM akan menjalankan siasatan sepenuhnya kes yang disiasat sejak tahun 2015 lalu itu.

Menurutnya, setakat ini 24 saksi telah dipanggil dan pihaknya menjalankan siasatan di lebih tujuh lokasi premis termasuk pejabat peguam, penilai dan pejabat MARA serta yang berkaitan dengannya, selain banyak dokumen sudah dirampas.

“Kes ini ada maklumat baharu yang ada kaitan dengan siasatan kes pembelian hartanah di Australia yang kita buka siasatannya pada tahun 2015.

“Jadi ini siasatan berterusan. Kita akan teruskan kepada nasihat undang-undang Pejabat Peguam Negara.

“Banyak lagi yang akan dibuat. (Siasatan) punca wang itu, ke mana wang itu dibelanjakan dan siapa pihak yang terbabit dalam menerima wang haram,” katanya di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan mesyuarat bersama Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani dan Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias. – 19 April 2017.